Sumber : Sinar Harian
SHAH ALAM – Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang ditahan polis setelah menyertai perhimpunan nyalaan lilin anti-perang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, kelmarin mempertikaikan tindakan pihak berkuasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim yang membantah penahanan terbabit menganggap tindakan polis itu seharusnya tidak berlaku kerana beliau dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago cuba berunding secara baik dengan pihak polis.
“Polis tidak seharusnya menahan kami yang menyertai perhimpunan terbabit kerana di negeri-negeri lain seperti Johor, Perak, Pulau Pinang dan seluruh dunia amnya tidak ada sebarang tahanan dibuat.
“Namun polis langsung tidak mahu bertolak ansur walaupun kami cuba untuk berunding pada malam itu bagi menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Dr Nasir berkata demikian sebagai mengulas tindakan polis menahan 21 orang termasuk Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad, Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Arutchelvan Subramaniam, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan beberapa orang aktivis Suaram.
Menurutnya, seorang remaja berumur 13 tahun dan lima wanita antara 21 orang yang ditahan dalam perhimpunan aman mengecam tindakan kejam dan ganas Zionis terhadap umat Islam Palestin itu.
“Remaja terbabit dipercayai ditahan bersama ibunya yang menyertai perhimpunan itu pada malam kelmarin,” katanya.
Nasir berkata, beliau dan 20 lagi yang ditahan malam itu telah dibawa ke Balai Polis Dang Wangi pada jam 8.30 malam dan ditahan kira-kira tiga jam setengah di balai berkenaan untuk soal siasat.
“Saya memang tidak berpuas hati dan kesal dengan tindakan itu kerana di sini menunjukkan bahawa polis seperti pilih kasih dan tidak ada penyelarasan dalam melaksanakan tugas,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ketika dihubungi berkata, tindakan polis itu dilihat seperti menyokong kekejaman Israel terhadap umat Islam di Palestin.
“Bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia turut menentang keras kekejaman Israel itu, jadi mengapa polis melarang perhimpunan untuk menyatakan rasa protes terhadap keganasan Zionis Israel itu,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu juga telah mencemarkan imej Malaysia kerana sebelum ini kerajaan dan Perdana Menteri turut menentang keganasan yang dilakukan tentera Israel itu, namun kini polis sendiri menghalang tindakan protes berkenaan.
“Polis sepatutnya memberikan peluang dan masa untuk kita menyatakan bantahan terhadap kekejaman itu kerana ini melibatkan soal kemanusiaan dan keselamatan dunia,” katanya.