Source : Utusan Malaysia

ARKIB : 28/05/2009

KUALA LUMPUR 27 Mei – Salah seorang ahli panel dalam forum awam anjuran Majlis Peguam mengenai konflik di Sri Lanka, menuduh kerajaan Malaysia mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu Palestin dan kaum Tamil di Sri Lanka.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan tindakan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak mencampuri urusan dalaman negara lain ketika diminta mengulas mengenai Sri Lanka.

“Jika pendirian Malaysia tidak mencampuri masalah dalaman negara lain, maka Malaysia juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan mengenai isu Myanmar dan Palestin.

“Di sini Malaysia mengamalkan pilih kasih dengan memberi layanan berbeza ke atas masyarakat Tamil di Sri Lanka dan rakyat Palestin,” katanya.

Charles berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum awam anjuran Majlis Peguam bertajuk Konflik dan Krisis Kemanusiaan di Sri Lanka: Apa selepas ini? di Auditorium Majlis Peguam di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, A. Kanesalingam berkata, Malaysia meletakkan tempatnya di posisi yang negatif dengan menyokong resolusi Sri Lanka.

Dua lagi ahli panel pada forum berkenaan ialah Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan S. Pasupathi.

Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Dr. D. D. Ranasinghe pada awalnya bersetuju menghadiri forum berkenaan, namun memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir, dua jam sebelum majlis bermula.