Source: Free Malaysia Today

Zainal Abidin Nor | June 27, 2011

Mereka yang mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, termasuk ibu tunggal, layak mendapat pinjaman maksima RM5,000 di bawah program merakyatkan ekonomi Selangor.

PETALING JAYA: Golongan miskin bandar terus mendapat pembelaan dari kerajaan negeri Pakatan Rakyat apabila Selangor memperuntukan sebanyak RM20 juta kepada mereka yang ingin menambah pendapatan melalui perniagaan secara kecil-kecilan.

Menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, mereka yang mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, termasuk ibu tunggal, layak mendapat pinjaman maksima RM5,000 di bawah program merakyatkan ekonomi Selangor.

“Skim mikrokredit ini telah lama dilaksanakan, sejak Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, dan pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, para pemohon perlu mengemukakan pelan perniagaan untuk layak mendapat skim pinjaman mudah tanpa faedah ini dan mereka hanya perlu membayar balik setelah 12 bulan perniagaan mereka beroperasi.

Menurut beliau, “Skim ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Selangor kerana “siapa yang tidak mahu kalau kerajaan negeri nak bagi duit”.

Santiago berkata, program ini berjaya meningkatkan pendapatan mereka yang hidup di bawah paras kemiskinan dan meninggikan taraf hidup serta ramai juga yang bebas dari belenggu kemiskinan.

Untuk tujuan penerangan dan promosi sebuah bengkel yang dinamakan Bengkel Mikrokredit Miskin Bandar Selangor (Mimbar) akan diadakan pada 3 Julai ini di Dewan Rumah Pangsa Bukit Tinggi 2, Klang.

Menurut beliau, setakat ini lebih 150 peniaga dan penjaja di kawasan parlimennya telah mendapat faedah dari skim Mimbar ini dan buat masa ini beliau telah menerima 60 permohonan dan dijangka menerima 60 permohonan lagi dalam sedikit masa.

Para peniaga dan penjaja yang berniaga buah-buahan, makanan dan minuman, barangan keperluan harian, cenderahati dan lain-lain boleh membuat permohonan di bawah skim ini.