Sumber : Sinar Harian 24/6/09

SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersetuju dengan arahan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu bakar sebelum ini bahawa sebarang perjumpaan rasmi perlu diadakan di kawasan tertutup seperti dewan atau stadium.

Menurutnya, pihak polis menghalang perjumpaan dibuat di kawasan terbuka kerana dikhuatiri akan memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat sekitar.

Namun, katanya, beliau berharap pihak polis boleh bertimbang rasa untuk membenarkan majlis biasa dianjurkan dengan jaminan tiada ancaman keselamatan dan keamanan kepada masyarakat.

“Dalam undang-undang polis, perjumpaan lebih daripada empat orang mesti mendapatkan kelulusan.

“Namun dalam masyarakat kita ada upacara perkahwinan, majlis hari jadi dan sebagainya, kalau semua nak dapat kelulusan daripada polis memang jadi satu masalah,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpu-nan bulanan jabatan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan polis yang campur tangan dalam majlis makan malam dan ceramah DAP di Klang, malam kelmarin.

Majlis itu dianjurkan oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago di hada-pan pusat khidmatnya di Bayu Tinggi.

Polis dikatakan mula berada di kawasan itu bersama lapan buah trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) pada jam 4.45 petang dan telah merampas peralatan pembesar suara.

Walaupun ceramah tidak dapat dilakukan namun majlis makan malam tetap diteruskan.

Khalid berkata, Charles ada memaklumkan kepadanya mengenai majlis tersebut ketika bersama-sama menghadiri program mesra rakyat di Teluk Gedung Indah kelmarin.

Menurutnya apa yang diberitahu Charles, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang telah pun memberi permit untuk mengadakan majlis itu.

Bagaimanapun, permit itu ditarik pada saat akhir kerana pihak polis negeri ingin majlis itu diadakan di kawasan tertutup.

Khalid kemudian mencadangkan kepada Charles bahawa jika majlis makan malam itu diadakan secara aman dan tidak akan memberi apa-apa kesan kepada masyarakat, ia boleh diteruskan dengan syarat ucapannya harus berkai-tan dengan majlis makan malam.

“Saya tiada keberatan terhadap anjuran majlis itu.

“Walau bagaimanapun kita berterima kasih kepada FRU yang menjaga mereka. Saya rasa tidak ada perkara yang tidak baik dan Charles tidak boleh mengadu mengenai perkara ini,” katanya.