source : utusan

PETALING JAYA Kerajaan diminta mendedahkan perjanjian konsesi di antara Kerajaan Pusat, kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebelum menaikkan tarif air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Koordinator Gabungan Penentang Penswastaan Air (CAWP), Charles Santiago berkata, kerajaan juga harus mengumumkan laporan penuh Jabatan Audit Negara yang menyatakan Syabas berhak mendapat kenaikan tarif sebanyak 30 peratus walaupun perjanjian menyatakan 37 peratus kerana syarikat itu telah memenuhi hampir semua syarat untuk menaikkan tarif.

“Kami berharap laporan lengkap itu dapat diumumkan dalam tempoh dua minggu akan datang untuk memberi peluang kepada orang ramai memeriksa dan mengkajinya termasuk dari segi hasil kewangan dan prestasi.

“Tujuan kami meminta kerajaan mengumumkan perjanjian konsesi dan laporan penuh Jabatan Audit Negara juga tidak bermakna kami bersetuju tarif air dinaikkan jika kerajaan menunaikan permintaan kami,” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran dan Pengerusi Jawatankuasa Kondominium Pangsapuri dan Rumah Pangsa Petaling Jaya, Tengku Nazaruddin Zainudin.

Pada 12 Disember lalu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu, tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang melibatkan 1.5 juta pengguna akan dinaikkan 37 peratus jika kerajaan Selangor gagal menyerahkan semua aset industri airnya kepada Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) sebelum 31 Mac depan.